Kerana Si Dia..Allah DiPersia..

Assalamualaikum..



"Ayang,abang sanggup lakukan apa sahaja untuk ayang," janji si teruna.
"Ayang juga sanggup serahkan jiwa dan raga demi abang," balas si dara dengan wajah berbunga-bunga.
"Jika benar kata ayang,apa buktinya?"
SUDAH!!
Kuat sekali magnet teruna dan dara.Tidak hairanlah Allah melarang menghampiri zina sama ada hati,lisan ataupun perbuatan,apatah lagi berzina.Sama ada sengaja atau tidak,bercinta sebelum kahwin amat terdedah kepada "nyamuk-nyamuk ikhtilat"(pergaulan bebas yang menghampiri zina).

Pernahkah kata dan janji seindah teruna dan dara kita lafazkan kepada Pencipta cinta?Bukankah Dia yang terlalu mencintai kita lebih berhak mendapat cinta kita?Di manakah Allah di hati kita?





Fahamkah Kita Apa Itu Cinta?

Semua orang tahu bahawa cinta teragung itu ialah cinta kepada Allah.Mencintai sesuatu itu pula mestilah kerana Allah.Tetapi kenapa 'pengetahuan' yang sudah sedia tersebar ini masih menyaksikan ramai manusia mensia-siakan peraturan cinta oleh-Nya?Ya,manusia sering tahu secara tepat tetapi tidak faham secara jelas.

Apa itu cinta?Apakah pula yang sepatutnya kita faham tentang cinta?Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah mencoret dalam catatannya Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin(Taman Orang Yang Cinta dan Rindu) bahawa ada lebih 60 istilah yang dikaitkan dengan cinta.






Antaranya ialah al-mahabbah(kasih sayang),al-tatayyum(perhambaan),al-sabwah(rindu yang cenderung kepada kebodohan),al-ishq(asyik),al-hawa(keinginan) dan banyak lagi.

Daripada 60 istilah yang pelbagai ini,cinta boleh diibaratkan kepada 3 kiasan :

1)Ada kalanya cinta menjadi seperti singa dan pedang,berkuasa,mulia dan gah di tangan pejuang.Cinta ini menjadikan yang hina menjadi mulia,yang miskin menjadi kaya jiwa,yang kaya menjadi dermawan dan yang melarat menjadi terhormat.Inilah cinta yang Allah redha iaitu cinta kepada Allah,Rasulullah,ilmu,keluarga,perjuangan dan seumpamanya.

2)Ada kalanya cinta menjadi bencana besar.Mengundang 1001 akibat,sengsara,derita,dan penyesalan.Cinta inilah yang menjatuhkan seorang pemimpin hebat seperti Bill Clinton kerana seorang wanita bernama Monica Lewinsky.Begitu juga cinta ini merosakkan populariti si Raja Dunia Golf,Tiger Woods kerana skandal seksnya dengan ramai wanita.

3)Ada kalanya juga cinta menjadi seperti arak yang memabukkan.
Khayal dan tenggelam.Hilang arah dan pedoman.Inilah cinta sebelum pernikahan.Cinta ini banyak ditagih oleh anak-anak muda pada zaman sekarang.Keasyikkan mereka membuatkan akal yang mabuk tidak mampu menikmati lazatnya nasihat.

Cinta Fitrah

Prof.Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya al-Islam wa al-Hub menulis:"Cinta itu ialah kecenderungan kepada sesuatu."Wujudkah manusia sihat yang tidak cenderung kepada sesuatu?
Rasa minat,kagum,rindu,teringat,suka,cinta dan sayang kepada seseorang ialah fitrah setiap insan.Perasaan indah ini singgah mengusap di setiap hati.Tiada siapa terkecuali.Semua orang akan merasainya.Itu petanda seseorang itu normal dan sihat.Fitrah ini akan tetap fitrah apabila ia berhias istighfar dan mujahadah.

Soal cinta amat akrab dengan soal hati.Oleh sebab itulah hati perlu berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar.Bimbang rasa suka,cinta dan sayang yang suci itu terheret menjadi rasa ingin selalu berbalas sms,call dan kerap berjumpa.

Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil.Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati.Tidak hairanlah Rasulullah s.a.w. dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah pendosa.

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a. berkata,Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Wahai sekalian manusia,minta ampunlah(istighfar) kepada Allah s.w.t..Sesungguhnya aku meminta ampun dan bertaubat kepada Allah,100 kali setiap hari."(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a.,dia berkata,aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Demi Allah,sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih daripada 70 kali".(Riwayat al-Bukhari)

Cinta Fitnah

Hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarahkan anggota badan seperti lidah,tangan,kaki,mulut,telinga untuk bertindak bertentangan dengan panduan syariat.Apabila lisan dan perbuatan mula melaksanakan arahan hati itu,ketika inilah fitrah menjadi fitnah.

Fitrah boleh dinodai serakah.Walaupun hati akur bahawa fitrah cinta ialah anugerah Allah,ironinya,hati juga ingkar bahawa fitrah cinta itu ada peraturannya daripada Allah.Apa-apa yang Allah haramkan,dilakukan.Apa-apa yang Allah perintahkan,ditinggalkan.Demi cinta,segala-galanya menjadi "halal" belaka.Kerana si dia,Allah dipersia-siakan.

Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa.Bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing.

Cinta Barakah

Cinta fitrah yang dipelihara kesuciannya akan berbuah barakah.Barakah itu mungkin di dunia,mungkin juga di akhirat.Lebih indah jika barakah itu pada kedua-duanya sekali,di dunia dan di akhirat.

Orang yang memeprsiapkan diri dengan peribadi muslim,insya-Allah akan dianugerahkan dengan bait al-muslim(rumahtangga muslim).Orang yang berusaha menjadi soleh,insya-Allah akan dimudahkan Allah mendapat orang yang solehah.

Cinta yang barakah akan terus bersemarak indah dalam ikatan nikah.Ia melengkapkan separuh agama.Namun,andai tiada jodoh di dunia,cinta fitrah yang terpelihara akan terus mendapat barakah dengan meneguk lazatnya "reda" pada ketentuan-Nya.

Perkahwinan bukanlah matlamat cinta.Ia cuma alat untuk lebih mudah mendapat cinta-Nya.Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan perkahwinan atau tidak,ia tidak dapat menghalang seseorang untuk mendapatkan cinta Allah.Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta!!


~Tidak pernah saya menaip sepanjang ini untuk entri dalam blog walaupun sekadar perkongsian sahaja untuk kalian yang sudi melawat ke blog saya.Lenguh juga tangan menaip tapi tidak mengapalah..Seronok untuk berkongsi ilmu dengan pembaca blog..Terima kasih kepada majalah Solusi kerana memberi banyak manfaat kepada saya untuk menyumbang dalam blog ini.Syukran.. ;) ~

This entry was posted on Saturday 11 February 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply